Oleh : Safiah Hanani Norhalizan
KUANTAN, 25 MAC 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berbuka puasa bersama rakyat di Kuantan 188.
Turut berangkat tiba YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah Binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YHM Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz.

Hadir sama, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob
Dalam majlis berkenaan, Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada anak-anak tahfiz daripada empat buah institusi yang melibatkan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP), Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom (RKKSHK), dan Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah (RKKTAF).
Penerima kurniaan berkenaan terdiri dari pelbagai peringkat usia, termasuk mereka yang berumur antara 7 hingga 17 tahun bersama pengiring dari setiap institusi.
Paduka Baginda dalam masa sama turut berkenan untuk bersiar-siar dan beramah mesra dengan rakyat jelata di sekitar Pasar Sera yang diadakan di Menara Kuantan 188.- PAHANGMEDIA

