Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
CAMERON HIGHLANDS, 14 MAC 2025 : Kampung Desa Kayangan akan diangkat sebagai destinasi pelancongan baharu di Cameron Highlands dengan menawarkan program berkonsepkan tradisi.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah perancangan ini akan dilaksanakan selepas kawasan ini dilengkapi infrastruktur bagi keselesaan penduduk.
“Kita akan kaji dari segi tempat-tempat yang boleh kita tarik pelancong. Mungkin ada pusat kebudayaan, tempat makanan Melayu atau makanan Orang Asli sekalipun. Kita kaji dulu.

“Itu satu cadangan yang boleh kita tinjau dan realisasikan pada masa akan datang. Yang lebih penting kesejahteraan di sini dahulu. Nak tengok dari segi infrastrukturnya, jalan elok, api air semua ada, keselesaan di sini. Itu yang diutamakan,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah bahawa penelitian akan dilakukan oleh baginda dan Kerajaan Negeri Pahang dalam pembahagian lot kepada semua penghuni di kawasan berkenaan.
“Kita nak menghalalkan penduduk tinggal di atas tanah ini. Namun saya harap mereka terus menjaga kawasan ini dengan sebaik mungkin, jaga kebersihan, jaga kecantikkan.

“Saya nak kawasan ini jadi satu taman yang boleh dicontohi, taman orang Melayu dan Orang Asli di sini,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan hasrat berkenaan pelaksanaan bas ulang-alik di kawasan pelancongan ini bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.
“Saya nak kaji berkenaan buat shuttle bus daripada Bharat Tea sampai ke Kea Farm supaya senang orang, tak payah bawa kereta, boleh tinggal kereta dekat sana, naik bas sahaja. Mengurangkan sedikit sebanyak kesesakan,” titah baginda.

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah tiba pada 10.15 pagi dengan memandu sendiri kenderaan diiringi YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkenan bercemar duli menyantuni penduduk kampung Desa Kayangan di Cameron Highlands selepas persembahan taklimat laporan baik pulih rumah oleh MUIP dan LPHP serta taklimat pembangunan infrastruktur Desa Kayangan.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; YB Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato’ Dr Ramli Dato’ Mohd Nor; Ketua Polis Pahang, YH CP Dato’ Seri Yahaya Othman; dan Pegawai Daerah Cameron Highlands, YBhg. Tuan Kamarul Iskandar Nordin. -PAHANGMEDIA

