Oleh: Norhafizan Zulkifli & Safiah Hanani Norhalizan
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 MAC 2025 : Kerajaan Negeri Pahang terus komited dalam memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini dan menyeru media untuk memainkan peranan lebih aktif dalam menyampaikan mesej keharmonian.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man berkata, peranan media amat penting dalam membentuk pemikiran rakyat mengenai isu perpaduan sekali gus memastikan keharmonian yang dikecapi kini dapat dipertahankan.
Menurutnya, media boleh membantu dengan menyiarkan lebih banyak kisah kejayaan perpaduan serta memberi liputan terhadap program-program yang berjaya menyatukan masyarakat.

“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memperkukuh hubungan antara kaum melalui pelbagai inisiatif dan program yang melibatkan semua lapisan masyarakat.
“Dalam hal ini, rakan media diharap dapat membantu menyampaikan mesej ini secara meluas agar nilai perpaduan dapat terus diperkasakan,” katanya kepada media ketika hadir menyempurnakan Majlis Ramah Mesra dab Iftar bersama Rakan Media di Hyatt Regency Kuantan Resort, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Pahang, Puan Amira Abdullah.
Tambahnya, media juga digalakkan untuk mengelakkan tajuk berita yang bersifat provokatif serta memastikan laporan mengenai hubungan kaum dibuat berdasarkan fakta yang tepat dan tidak mengundang ketegangan.
Beliau turut menyarankan agar liputan lebih positif diberikan kepada aktiviti kemasyarakatan yang mencerminkan keharmonian dalam kepelbagaian, sekali gus memperkukuhkan nilai perpaduan dalam kalangan rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut mengulangi peringatan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, bahawa pemimpin harus berperanan sebagai pendamai, bukannya pencetus perpecahan.
“Kami berharap rakan media dapat terus menyokong usaha ini dengan menyebarkan berita yang membina serta menonjolkan semangat perpaduan yang menjadi tunjang keharmonian negeri ini,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

