Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 06 MAC 2025 : Kebakaran ladang kelapa di Jalan Pintasan Gebeng-Sungai Ular sejak 22 Februari lepas bertambah kepada 130.3 hektar berikutan angin kencang dan cuaca panas.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), YS Mohd Razam Taja Rahim, setakat malam tadi, kawasan yang masih mengalami kebakaran berbaki 36.57 hektar daripada keseluruhan kawasan terlibat.
“Kebakaran ini melibatkan kawasan ladang kelapa dengan keluasan keseluruhan 524.8 hektar, di mana kawasan yang terbakar meningkat kepada 130.3 hektar.
“Kawasan yang telah berjaya dipadamkan adalah seluas 93.73 hektar dan baki yang terbakar belum dipadamkan adalah 36.57 hektar lagi,” katanya.
Beliau berkata pihak JBPM Negeri Pahang telah menjalankan beberapa tindakan bagi operasi pemadaman api yang dipecahkan kepada tujuh sektor.

“Kita telah melakukan tindakan water bombing, direct attack, fire break, dan total flooding bagi pemadaman api di kawasan terlibat.
“Kita juga memecahkan operasi pemadaman kepada tujuh sektor dengan 10 anggota di setiap sektor bagi mengelakkan api merebak ke sektor yang lain.
“Bagi tindakan water bombing, ia melibatkan satu unit pesawat jenis Mi-17 dengan kekuatan 11 orang kru,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga menerima bantuan daripada jabatan dan agensi luar bagi memadamkan kebakaran yang dijangka dapat dikawal sepenuhnya minggu ini.
“Kita juga menerima bantuan excavator daripada JKR dan pihak ladang bagi tujuan membuat fire break dan bagi akses laluan pemadaman selain bantuan daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan, PAIP, JAS, JPS dan MCKIP,” katanya. -PAHANGMEDIA

