Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 28 FEBRUARI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang menyampaikan bantuan sebanyak RM166,800 kepada anak yatim, ibu tunggal, dan pesakit terlantar di Jelai sempena Ramadan.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, bantuan wang tunai sebanyak RM300 seorang ini melibatkan 556 penerima daripada 13 kampung.
“Justeru Kerajaan Negeri mengambil inisiatif dengan menyampaikan bantuan wang tunai berjumlah RM300 seorang dan kurma kepada 556 penerima yang benar-benar memerlukan dari 13 kampung di kawasan Jelai.
“Jumlah keseluruhan sumbangan ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM166,800. Antara golongan penerima sumbangan pada majlis ini adalah 156 orang anak-anak yatim, 263 orang ibu tunggal, dan 137 orang pesakit terlantar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Penyampaian Sumbangan Ahlan Ramadan 1446 Hijrah 2025 Masihi oleh Yayasan Pahang bagi Kawasan Jelai di Dewan Terbuka Laman Sejahtera.
Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Abdul Rahman Hj Mohamad; dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri akan terus komited dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela dan mengingatkan penerima menggunakan perbelanjaan sebaiknya.

“Ramadan adalah bulan yang menggalakkan kita untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah dan membantu mereka yang memerlukan.
“Nasihat saya kepada penerima bantuan pada hari ini, gunakan dan manfaatkan sumbangan yang diterima pada hari ini untuk perbelanjaan menyambut bulan Ramadhan dan dapat memanfaatkan bantuan ini sebaik mungkin,” katanya.
Pada majlis ini, Kerajaan Negeri Pahang turut memberikan sumbangan cek dan komputer riba kepada 38 penerima dengan jumlah sumbangan berjumlah RM468,363 selain menyampaikan RM250,000 kepada masjid dan surau di Parlimen Cameron Highlands.
Selain itu turut diadakan penyerahan surat tawaran dan kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR) daripada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kepada 20 penerima yang layak dalam usaha memastikan kesejahteraan rakyat.
Dalam majlis ini turut diserahkan penyerahan cek cura Projek Pembinaan Rumah Baiti Jannati kepada 3 penerima dengan nilai rumah RM100,000 setiap rumah dan sumbangan RM15,000 untuk Program Ceria Ke Sekolah TNB 2024. -PAHANGMEDIA

