Foto : Farizul Hafiz Awang
KUALA LUMPUR, 4 MAC 2025 : Kerajaan Pahang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi penyerahan dan pengurusan rumah-rumah di bawah Program Residensi Rakyat (PRR) di Negeri Pahang.
MoU berkenaan ditandatangani oleh YB. Setiausaha Kerajaan Pahang Dato’ Sri Haji Zulkifli Bin Haji Yaacob dan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira M Noor Azman Bin Taib sambil disaksikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Ketika ditemui berkata, Kerajaan Pahang menyasarkan untuk mempercepatkan proses pembinaan rumah di bawah PRR di negeri itu dengan termeterainya MoU ini.
Jelas beliau, MoU tersebut akan membolehkan Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan terus kepada kerajaan negeri untuk pembinaan projek PRR di Pahang, pada masa depan.

“MoU ini akan memudahkan dan mempercepatkan proses pembinaan projek PRR kerana kelulusan tanah terletak di bawah kerajaan negeri.
“Sebelum ini, banyak projek PRR mengalami kelewatan disebabkan oleh peruntukan kewangan yang perlu diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dan kelulusan tanah yang berada di bawah bidang kuasa negeri,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Kerajaan Negeri Pahang dan KPKT bagi penyerahan serta pengurusan rumah di bawah Program PRR semalam.
Jelas beliau, MoU berkenaan adalah satu usaha yang sangat baik untuk memastikan projek PRR dapat dilaksanakan dengan lebih lancar, sekali gus memberi manfaat besar kepada rakyat yang memerlukan kediaman.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri dan Ketua Setiausaha KPKT kerana mencetuskan idea berkenaan yang kini mendapat persetujuan kerajaan negeri, sekali gus memberi ruang untuk mempercepatkan pelaksanaan projek PRR di Pahang,” katanya.
Jelasnya lagi KPKT juga telah menyerahkan enam projek PRR yang melibatkan kira-kira 700 unit rumah untuk ketua isu rumah di beberapa daerah di Pahang.
Beliau turut menjelaskan bahawa di Pahang, selain PRR, terdapat banyak lagi projek pembinaan perumahan rakyat yang sedang dijalankan termasuk Rumah Rakyat Pahang, Rumah Makmur, Projek Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan terbaharu, Pangsapuri Pahangku.
“Kos pembinaan setiap unit rumah PRR dianggarkan sekitar RM45,000. Untuk mendapatkan kemudahan ini, individu yang berminat perlu memenuhi syarat-syarat tertentu yang ditetapkan oleh KPKT dan kerajaan negeri.
“Kerajaan Pahang berharap inisiatif ini dapat memberikan akses perumahan yang lebih baik dan berpatutan kepada rakyat, sambil mempercepatkan pembinaan rumah yang amat diperlukan,” katanya. – PAHANGMEDIA

