Oleh : Ain Nadhirah Basha
BENTONG, 08 FEBRUARI 2025 : Program Berkhatan Anak Pahang 2025 disifatkan sebagai satu inisiatif yang dapat meringankan beban kewangan ibu bapa peserta disamping dapat mengeratkan silaturahim.
Menurut Encik Muhammad Izlan Adnan, 43, dari Kampung Bukit Tinggi yang merupakan bapa kepada Muhammad Zarith Putra, 11, yang merupakan peserta pertama program ini melahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan inisiatif oleh Kerajaan Negeri Pahang ini.

“Rasa sukalah, kalau tidak kena keluar duit dah berapa (ringgit) kalau dekat klinik. Terima kasih untuk Kerajaan Negeri Pahang, tambah pula dengan waktu sekarang ini dengan barang semua mahal.
“Kalau boleh panjangkan lagi (program) ini ke tahun-tahun akan datang. Saya dapat tahu program ini daripada pihak sekolah,” katanya yang bekerja sebagai peniaga kedai makan.
Sementara itu, menurut Puan Ummu Zahida Baharom, 35, dan Encik Muhammad Ahmad Fadzli Muhammad Rani, 43, dari Felda Lurah Bilut turut melahirkan rasa gembira dengan penyertaan anak kembar mereka, Ummar dan Uwais, 6, dalam program berkhatan beramai-ramai ini.

“Rasa seronok, sebab ini memang kali pertama dan kedua-dua mereka juga anak lelaki pertama kami. Jadi kami rasa teruja nak join program ini.
“Program ini banyak memberi bantuan sebab sekarang kos untuk proses berkhatan ini kalau nak bandingkan harga dulu dengan harga sekarang memang jauh berbeza.
“Sedikit sebanyak program yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pahang ini dapat membantu kami sekeluarga. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang atas program yang dianjurkan ini,” katanya yang masing-masing bekerja sebagai suri rumah dan pemandu lori.
Seramai 300 peserta Program Berkhatan Anak Pahang 2025 Peringkat Daerah Bentong menyertai program yang bermula pada 8 pagi yang turut diserikan dengan acara semburan air oleh pihak bomba di perkarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Bentong.
Turut hadir, Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam; dan Ahli Parlimen Bentong, YB. Puan Young Syefura Othman. -PAHANGMEDIA

