Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : S. Prathap
BENTONG, 08 FEBRUARI 2025 : Program Berkhatan Anak Pahang 2025 merupakan satu inisiatif mengekalkan tradisi yang telah lama diamalkan selain dapat memajmukkan masyarakat di negeri ini.
Menurut Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, sambutan menggalakkan juga diterima daripada ibu bapa yang menyertai program ini bersama anak mereka.
“Ibu bapa juga memberikan sokongan kepada anak-anak mereka dan ini salah satu tanda bagaimana keberadaan Kerajaan Negeri Pahang dibawah pimpinan YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy untuk mengekalkan tradisi.
“Dan ini kita panggil satu model iaitu IM (Insiatif Makmur) Pahang untuk memajmukkan Negeri Pahang dan juga masyarakatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Berkhatan Anak Pahang 2025 Peringkat Daerah Bentong dan beramah mesra bersama peserta khatan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Bentong.
Beliau berkata selepas pertemuan bersama para ibu bapa hari ini, beliau dimaklumkan mereka telah meminta supaya program ini diteruskan pada masa akan datang oleh Kerajaan Negeri Pahang.
“Selepas kita bertemu dengan ibu bapa pada hari ini, pertamanya mereka mengucapkan syukur dan berterima kasih.
“Keduanya mereka mengatakan ada lagi anak mereka dan memohon kalau boleh Kerajaan Negeri Pahang untuk meneruskan perkara-perkara yang baik pada masa akan datang,” katanya.
Seramai 300 peserta Program Berkhatan Anak Pahang 2025 Peringkat Daerah Bentong menyertai program yang bermula pada 8 pagi yang turut diserikan dengan acara semburan air oleh pihak bomba di perkarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Bentong. -PAHANGMEDIA

