Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 8 FEBRUARI 2025 : Semangat antara komponen Barisan Nasional (BN) yang masih kental membolehkan parti itu kembali bangkit menawan Pahang dengan majoriti mudah dua pertiga pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang, kata YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau juga berkata, ia berikutan hubungan yang sangat baik terus terjalin antara BN dan parti komponennya, MCA dan MIC.

Katanya, dari semasa ke semasa, BN Pahang bersama parti komponennya akan membincangkan strategi dan hala tuju mereka untuk terus mengekalkan pemerintahan dan menawan kembali Pahang.
“Saya tengok semangat BN masih kental dan InsyaAllah kita harap kita akan bangkit semula seperti sebelum-sebelum ini… sebelum 2018,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baru Cina 2025 anjuran MCA Negeri Pahang, di sini hari ini.

Majlis yang diadakan di Restoran Suang Hee, Mentakab, di sini itu turut dihadiri Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong. Hadir sama, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib serta barisan pimpinan UMNO, MCA dan MIC Pahang.
Dalam pada itu, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, program rumah terbuka berkenaan berjalan dengan sangat baik sekaligus membuktikan hubungan baik antara BN dan MCA.

“Saya juga ucapkan terima kasih kepada Presiden MCA kerana dapat hadir. Dan ini merupakan kali kedua saya dapat bersama-sama dalam rumah terbuka MCA Pahang,” katanya lagi.
Apabila ditanya tentang kontroversi yang timbul membabitkan MCA, beliau yang juga merupakan Naib Presiden UMNO berkata, ianya tidak akan menjejaskan hubungan baik antara BN dan parti komponennya itu.
“Tidak (terjejas), malahan ada wakil seorang (MCA) dalam Dewan Negeri..ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Lantikan,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

