Oleh : Fadhil Roslizan
RAUB, 4 FEBRUARI 2025 : Rumah Rakyat Pahang (RRP) merupakan inisiatif dari Kerajaan Negeri Pahang yang telah bermula sejak tahun 2020 bagi membantu rakyat yang kurang berkemampuan memiliki rumah sendiri.
Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal telah menyerahkan replika kunci Rumah Rakyat Pahang Fasa 4 bagi kawasan Dewan Negeri Dong kepada penerima yang meliputi tujuh buah kampung, semalam.
Katanya, rata-rata penerima sangat terharu dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang yang telah memberikan rumah percuma kepada mereka.

“Selain rumah yang bernilai RM75,000, penerima juga diberikan peralatan rumah seperti mesin basuh dan peti sejuk yang berjumlah RM2,000.
“Inisiatif pemberian rumah percuma kepada rakyat oleh Kerajaan Negeri ini tidak berlaku di negeri lain.
“Hanya Negeri Pahang yang melaksanakannya atas kebijaksanaan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, yang sentiasa memikirkan faktor kebajikan buat rakyat,” katanya.
Tambahnya, RRP telah memasuki Fasa 5 bagi tahun ini dan di dalam Belanjawan 2025 Negeri Pahang, sejumlah peruntukkan telah ditambah bagi meneruskan inisiatif ini.
“YAB. Menteri Besar Pahang telah mengumumkan penambahan peruntukkan untuk membina RRP ini dari RM75,000 ke RM80,000 bagi menampung kos binaan yang semakin meningkat saban tahun,” katanya lagi.
YB. Tuan Fadzli juga berkata, penyerahan kunci RRP kepada lapan penerima untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong telah dilaksanakan dari rumah ke rumah meliputi tujuh buah kampung iaitu Kampung Gali, Durian Sebatang, Sungai Pasu, Tanjung Putus, Peruas, Ajai dan Temau.
Turut bersama di dalam sesi lawatan ini adalah Penolong Pegawai Daerah Raub (Pembangunan), Pegawai Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Pahang, Penghulu Mukim Gali 1, Penghulu Mukim Dong dan kepimpinan setempat.-PAHANGMEDIA

