Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahfitri Zulkifli
ROMPIN, 25 JANUARI 2025 : Pahang menjadi salah sebuah daripada enam negeri yang dipilih bagi pelaksanaan Program Rintis Future Health for All (FH4A) bagi memberi pendedahan kepada rakyat dalam memanfaatkan teknologi baharu dalam penjagaan kesihatan masa hadapan.
Menurut Exco Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir Razali Kassim, program rintis Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (MCMC) ini dapat memastikan akses kesihatan berkualiti diterima oleh semua lapisan masyarakat.
“Kecanggihan teknologi dalam bidang kesihatan, seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI), teleperubatan, dan aplikasi kesihatan pintar, akan menjadi pemacu utama dalam memastikan kesejahteraan rakyat.

“Program rintis ini juga akan memberi tumpuan kepada tiga elemen penting, iaitu, kesedaran, pengetahuan, dan adaptasi rakyat terhadap penjagaan kesihatan yang lebih efektif, efisyen dan inklusif.
“Oleh yang demikian, program rintis FH4A ini bertujuan untuk memberi pendedahan bagaimana rakyat dapat memanfaatkan teknologi baharu dalam penjagaan kesihatan masa hadapan seperti teleperubatan, pemantauan kesihatan secara jarak jauh, dan penggunaan AI dalam diagnosis penyakit, yang mampu membawa perubahan besar dalam cara kita menjaga kesihatan terutama pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Rintis Future Health for All (FH4A) peringkat Negeri Pahang di Dewan Orang Ramai Muadzam Shah yang turut dihadiri Pengarah MCMC Negeri Pahang, YBhg. Encik Shahrizal Husin.

Beliau berkata program rintis ini dapat menunjukkan bagaimana teknologi moden dapat disepadukan dalam usaha meningkatkan taraf penjagaan kesihatan rakyat terutamanya di kawasan pedalaman.
“Program Rintis FH4A yang dianjurkan oleh MCMC bersama agensi-agensi kerajaan, Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), KPJ Healthcare Berhad, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd., Majlis Amanah Rakyat (MARA), serta rakan-rakan pendigitalan, kita dapat melihat bagaimana teknologi moden dapat disepadukan dengan usaha meningkatkan taraf penjagaan kesihatan rakyat.
“Dengan teknologi terkini yang akan diperkenalkan melalui program rintis ini, kita dapat meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan masa hadapan yang lebih berkualiti untuk semua lapisan masyarakat, termasuk mereka yang berada di kawasan pedalaman dan mudah terdedah kepada penyakit.
“Dengan pelaksanaan program seperti ini, rakyat Malaysia khususnya di Negeri Pahang berada di landasan yang tepat untuk mencipta masa depan penjagaan kesihatan yang lebih canggih, adil, dan berdaya tahan seiring dengan falsafah, kesihatan adalah asas kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara,” katanya.
Tiga daerah di negeri ini telah terpilih sebagai lokasi pelaksanaan projek rintis ini melibatkan Rompin, Kuantan, dan Jerantut di mana di Kampung Balok, Kuantan dan Felda Sungai Tekam Utara, Jerantut telah bermula semalam. -PAHANGMEDIA

