Oleh : Ain Nadhirah Basha & Safiah Hanani Norhalizan
KUANTAN, 25 JANUARI 2025 : Kejayaan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Majlis Daerah Jerantut (MDJ) merangkul Anugerah Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT) 2024 diharap dapat dijadikan pembakar semangat dan teladan kepada semua PBT di negeri ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, kesemua 147 PBT di negeri ini diharap dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat sejajar visi pembangunan Negeri Pahang.
“Bagi saya ia bukanlah satu perkara yang mudah untuk mendapat tempat pertama di seluruh negara kerana kita ada 100 lebih PBT dan MBK berjaya mendapat tempat pertama, ini adalah satu kejayaan yang boleh kita banggakan bersama.
“Saya juga percaya, kemenangan kedua-dua PBT ini akan menjadi teladan kepada 147 buah PBT yang terdapat di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Meraikan Kemenangan Anugerah Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT) 2024 di Dewan Bandaraya, Kompleks Bandaraya Kuantan.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; dan Datuk Bandar Kuantan, YH. Dato’ Razihan Adzaharuddin.
Beliau turut melahirkan harapan kesemua PBT di negeri ini mampu mencapai tahap lebih tinggi berdasarkan komitmen dan dedikasi yang ditonjolkan oleh semua pihak.
“Saya harap mereka dapat mengekalkan kejayaan ini dan mempertingkatkan lagi (kejayaan) manakala majlis PBT yang lain lebih berusaha untuk mendapat kejayaan di masa-masa akan datang, dua tahun dari sekarang.
“Saya yakin dengan komitmen dan dedikasi yang tinggi daripada semua, kita mampu mencapai ke tahap yang lebih tinggi. Teruskan usaha sedia ada dan tingkatkan komitmen dalam setiap amanah yang dipertanggungjawabkan,” ujarnya.
Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) telah berjaya mencatatkan kejayaan yang gemilang dengan merangkul tempat pertama bagi kategori Bandaraya manakala Majlis Daerah Jerantut (MDJ) berjaya mendapat tempat ketiga bagi kategori Majlis Daerah.
Kedua-dua pihak berkenaan telah meraih Penarafan Lima Bintang dan membawa pulang hadiah kemenangan berupa Geran Pembangunan bernilai RM 1 juta bagi MBK dan RM 300,000 bagi pihak MDJ.
Anugerah yang diperkenalkan sejak tahun 2007 oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) ini diadakan dua tahun sekali bertujuan untuk mewujudkan budaya kerja cemerlang berteraskan prestasi melalui persaingan sihat di kalangan PBT dan menilai tahap penyampaian PBT di seluruh negara agar ia dapat membantu untuk terus berusaha memantapkan tadbir urus dan sistem penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. -PAHANGMEDIA

