Oleh: Syafiqah Jamaluddin
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 23 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang meningkatkan peruntukan program Jualan Makmur Kluster Perayaan sebanyak 200 peratus kepada RM7.56 juta tahun ini berbanding RM2.52 juta pada 2025 bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih berpatutan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB Tuan Sim Chon Siang berkata, peningkatan peruntukan itu bertujuan memperluas manfaat program berkenaan, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Program Jualan Makmur Kluster Perayaan bertujuan memperluaskan akses rakyat kepada barangan keperluan harian pada harga yang lebih berpatutan melalui pemberian subsidi dan potongan harga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, YB Tuan Su Keong Siong pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menurutnya, inisiatif berkenaan merupakan antara usaha Kerajaan Negeri membantu mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah susulan peningkatan kos sara hidup.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata program Jualan Rahmah MADANI yang dilaksanakan di Pahang merekodkan sebanyak 1,219,511 transaksi dengan nilai jualan keseluruhan RM66.6 juta menerusi 1,733 program sehingga 31 Oktober lalu.
Katanya, program berkenaan akan diteruskan pada 2027 dengan peruntukan RM750,000 berbanding RM600,000 tahun ini, seperti diumumkan Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan ADUN Ketari mengenai kesan pelaksanaan program terhadap peniaga kecil tempatan, beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut membuka peluang kepada peniaga kecil untuk menyertai Jualan Rahmah.
“Peniaga kecil yang berminat boleh mengemukakan permohonan kepada KPDN untuk turut serta dalam program berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, keutamaan pelaksanaan program itu adalah untuk membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup, selain memastikan lebih ramai masyarakat mendapat manfaat daripada inisiatif yang disediakan. -PAHANGMEDIA

