Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 7 DISEMBER 2024 : Kerajaan Pahang merancang untuk menambah lokasi penganjuran Program Anggun Suri kepada enam atau tujuh lokasi pada tahun hadapan berbanding empat lokasi di Kuantan, Bera, Jengka dan Cameron Highlands pada tahun ini.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, hal ini kerana sambutan yang menggalakkan daripada para peserta yang terdiri daripada pasangan pengantin di seluruh negeri.
“InsyaaAllah seperti yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar baru-baru ini, Program Anggun Suri diteruskan lagi untuk tahun hadapan dan kita akan tukar tempat lain lah dan saya rasa mungkin, kalau tahun ini empat, mungkin tahun depan kita boleh buat enam atau tujuh (lokasi),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada Program Anggun Suri (Perkahwinan Secara Beramai-ramai) Parlimen Kuala Krau di Dewan Balora Mastika, Bandar Jengka, hari ini.
Pada majlis itu, sebanyak lima pasangan telah disatukan pada hari ini manakala lima lagi pasangan akan diadakan di Perkampungan Orang Asli membabitkan pasangan pengantin Orang Asli.
“Istimewanya di Kuala Krau ini kita buat di dua tempat, kita memang ada 10 pasangan, lima orang hari ini dan lima orang lagi akan diberikan tarikh dalam masa terdekat. InsyaaAllah untuk lima pasangan lagi kita bercadang untuk mengadakan di Perkampungan Orang Asli dan mungkin pasangan-pasangan pengantin di kalangan Orang Asli,” katanya.
Program Anggun Suri (Perkahwinan Secara Beramai-ramai) di Kuala Krau merupakan lokasi ketiga selepas Kuantan dan Bera manakala daerah Cameron Highlands pula telah dirancang dalam masa terdekat.
Program Anggun Suri adalah inisiatif Kerajaan Pahang untuk membantu 40 pasangan pengantin yang kurang berkemampuan mendirikan rumah tangga dengan kos keseluruhan sebanyak RM500,000.
Program ini bertujuan meringankan beban kewangan pasangan pengantin dan memerlukan koordinasi rapi termasuklah sumbangan, logistik, serta pengurusan tetamu. – PAHANGMEDIA

