Oleh : Ain Nadhirah Basha
PEKAN, 07 DISEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang bercadang menjadikan Karnival Buku Daerah Pekan sebagai acara tahunan melihatkan sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.
Menurut Exco Pelaburan, Perindustrian, Kerajaan Negeri Pahang dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, acara yang julung kali diadakan ini dicetuskan daripada pengajuran Pesta Buku Pahang baru-baru ini.
“Pada Pesta Buku Pahang baru-baru ini saya lihat ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai, dan ada mendapat penyertaan dari ramai pempamer.
“Dan saya berhasrat membawa pesta tersebut ke Pekan kerana kita ingin menanam minat membaca, minat mencari ilmu, minat untuk berfikir secara kritis supaya warga Pekan dapat membeli buku-buku yang terkini.
“Kalau kita tidak membawa pempamer ke sini, ia mungkin sedikit sukar untuk warga Pekan mendapatkan judul-judul tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Karnival Buku Daerah Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini.
Beliau turut melahirkan rasa berpuas hati dengan sambutan yang diberikan warga Pekan terhadap karnival buku yang disertai oleh 29 pempamer dari pelbagai penerbitan yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini sehingga esok. -PAHANGMEDIA

