Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 DISEMBER 2024 : Sebanyak 18,372 tan metrik padi dihasilkan bagi tahun 2023 melibatkan seluruh Negeri Pahang dengan penghasilan beras tempatan tahunan adalah sekitar 11,023 tan metrik.
Menurut, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, penghasilan beras adalah berdasarkan 60 peratus perolehan padi.
“Penghasilan padi di Negeri Pahang adalah sebanyak 18,372 tan metrik bagi tahun 2023. Oleh demikian, dijangka penghasilan beras tempatan tahunan di Pahang adalah sekitar 11,023 tan metrik berdasarkan perolehan 60 peratus.
“Kerajaan sememangnya mempunyai hasrat untuk meluaskan tanaman padi tetapi semuanya bergantung kepada kesesuaian tanah dan juga pengairan yang mana ini melibatkan kos yang tinggi.
“Jumlah keluasan kawasan penanaman padi di Negeri Pahang bawah seliaan BERNAS untuk program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) sehingga bulan Oktober 2024 adalah sebanyak 86.2 hektar yang melibatkan tiga kawasan iaitu di Paya Pesagi, Maran (27.3 hektar); Ganchong Hulu, Pekan (46.7 hektar); dan Setajam, Rompin (12.2 hektar),” katanya.
Beliau berkata setakat ini Kerajaan Negeri Pahang tidak berhasrat meluaskan kawasan tanaman padi di Rompin berikutan keadaan tanah di kawasan tersebut.
“Sehingga kini, Kerajaan Negeri Pahang tiada cadangan untuk meluaskan tanaman padi di daerah Rompin berikutan keadaan tanah memainkan peranan penting untuk pertumbuhan tanaman padi itu sendiri.
“Sebagai contoh, terdapat 3,000 hektar tanah yang disewakan oleh pihak PKPP tidak dapat ditanam padi disebabkan oleh keadaan profile tanah tersebut yang bersifat gambut dalam dan tidak sesuai untuk tanaman padi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Hussain pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

