Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 4 DISEMBER 2024 : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, YB. Tuan Mohd Fadzli Mohd Ramly membidas ADUN Jengka, YB. Tuan Shahril Azman Abdul Halim berhubung dakwaan keluar parti yang disamakan dengan murtad.
YB. Tuan Mohd Fadzli yang sebelum ini berjuang bersama PAS telah menyertai parti Amanah dan didakwa ‘murtad’ oleh ADUN Jengka meskipun dianggap sebagai gurauan.
YB. Tuan Mohd Fadzli berasa kesal dan tidak dapat menerima dakwaan kasar yang dianggap gurauan oleh ADUN Jengka.
“Saya juga merakamkan rasa sedih yang amat sangat apabila masuk ke dewan ini, apabila ada seorang ahli dewan yang tanpa segan silu memanggil saya dengan murtad. Bagi mereka perbezaan parti politik ini bererti keluar daripada Islam.
“Perkataan murtad bukan boleh buat main-main YB (Jengka) dan saya nak sebut dari segi istilah dia ulamak dalam kitab Al-Mughni Al-Muhtaj, iaitu seorang ulamak dari Mazhab Syafie menyebut dengan jelas perkataan murtad itu memutuskan Islam dengan niat dan ucapan kufur dengan perkataan sama ada perkataan mengejek, ingkar atau dengan akidahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membidas ADUN Jengka pada Sesi Perbahasan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, semalam.
Beliau menegaskan, perkataan murtad tidak boleh dijadikan gurauan kerana ianya melibatkan akidah. – PAHANGMEDIA

