Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 4 DISEMBER 2024 : FELDA Sungai Panching Selatan termasuk antara 18 rancangan FELDA terpilih untuk fasa awal pelaksanaan Skim Tanah Rakyat FELDA (STRF).
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata sebanyak 2,110 unit rumah di bawah skim berkenaan akan dibina bagi fasa awal berkenaan.
Katanya, STRF merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Pahang bagi menangani isu perumahan generasi Baharu FELDA dengan perancangan lebih tersusun dan teratur.
“Usaha ini diteruskan dengan fasa berikutnya di 54 rancangan FELDA yang lain dengan mengambil kira kriteria pemilihan tapak, isu-isu status tanah dan pertindihan tapak cadangan serta mengatasi isu-isu kesesuaian tapak tidak berulang serta dapat diatasi dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, YB. Tuan Haji Mohd Tarmizi Yahaya dalam Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Menjawab soalan tambahan yang dikemukan YB. Tuan Haji Mohd Tarmizi berkaitan sama ada permohonan untuk STRF itu sudah dibuka atau belum, YB. Dato’ Amizar berkata, permohonan bagi FELDA Sungai Panching Selatan sudah diterima dan kini sedang dalam peringkat penilaian secara terperinci.
“Mengikut senarai 18 kawasan yang telah diumumkan dan kami telah menerima permohonan di FELDA Sungai Panching Selatan, sebanyak 70 lot yang telah pun diracip dan diluluskan oleh pihak juruukur berlesen.
“Setakat ini, itulah borang ataupun permohonan yang diterima pihak FELDA… dan pihak kami telahpun menerima permohonan tersebut dan ianya sedang dinilai dengan lebih terperinci,” ujarnya.-PAHANGMEDIA

