Oleh : Ain Nadhirah Basha
LIPIS, 03 DISEMBER 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah mengingatkan orang ramai supaya sentiasa bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Paduka Baginda dalam titah menasihatkan orang ramai untuk sentiasa peka dengan amaran cuaca dan nasihat pihak berkuasa.
“Dikesempatan ini juga, suka untuk saya mengingatkan kepada semua, agar sentiasa bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut yang telah tiba.
“Seperti yang kita semua maklum, musim tengkujuh sering membawa cabaran seperti hujan lebat, banjir, tanah runtuh, dan angin kencang.
“Oleh itu, persediaan awal amat penting bagi mengurangkan risiko kepada nyawa dan harta benda. Dinasihatkan agar sentiasa peka dengan amaran cuaca dan nasihat daripada
pihak berkuasa,” titah baginda.
Paduka Baginda turut bertitah untuk memastikan keselamatan ahli keluarga khususnya warga emas dan kanak-kanak ketika banjir melanda.
“Pastikan keluarga, khususnya warga emas dan kanak-kanak, sentiasa berada di tempat yang selamat.
“Dalam menghadapi ujian seperti musim tengkujuh ini, saya mengajak kita semua untuk
sentiasa bertawakal kepada Allah SWT, disamping berusaha melindungi diri dan keluarga.
“Semoga dengan kesabaran dan doa, Allah mempermudahkan segala urusan kita
dan melindungi Negeri Pahang Darul Makmur daripada sebarang musibah,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Masjid Baharu Kampung Rengai yang kemudiannya dimasyhurkan sebagai Masjid Ar-Rahman Kampung Rengai.
Turut mengiringi Kebawah Duli Paduka Baginda, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Hadir sama, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; dan Ahli Parlimen Lipis yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Haji Mohamad. -PAHANGMEDIA

