Oleh : Ain Nadhirah Basha
BERA, 01 DISEMBER 2024 : Program Anggun Suri iaitu perkahwinan beramai-ramai anjuran Kerajaan Negeri Pahang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat di negeri ini.
Menurut Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Hajah Sabariah Saidan, banyak pertanyaan untuk menyertai program ini pada tahun hadapan telah diterima pihaknya.
“Alhamdulillah bila mereka nampak apa yang kita buat ni, dah ramai dah datang untuk tahun depan. Dah booking.
“Kalau ramai, kita akan adakan temuduga untuk pilih pasangan yang sesuai yang kita rasakan layak untuk menerima bantuan ini.

“Kita ada kenakan yuran komitmen, macam di Bera komitmen yang kita kenakan sebanyak RM500, tapi bila Kerajaan Negeri bagi lagi RM300, mereka cuma perlu bayar RM200,” katanya.
Mengulas mengenai sambutan di Bera yang dilihat lebih meriah daripada Kuantan, beliau berkata ia mungkin disebabkan orang ramai tidak cakna dengan program baharu.
“Sambutan meriah sama tapi cuma Kuantan tu dia buat pertama kali orang ramai tak tahu walaupun kita buat promosi, kita masukkan dalam media sosial tapi biasalah kali pertama mungkin orang tak tahu lagi.
“Dan di Bera ini, alhamdulillah berjalan seperti dirancang dan pasangan pengantin pada hari ini seramai sembilan pasangan.

“Syukur terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja kerana telah mencetuskan idea ini dan kami bagi pihak Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita, dan Keluarga Negeri Pahang bersama Unit Wanita dan Sosial Negeri Pahang, telah melaksanakan program ini,” katanya.
Beliau ketika ditemui turut tidak menolak program yang dijangka dijalankan di dua lagi daerah berkemungkinan ditangguhkan sekiranya berlaku banjir.
“Ini kali kedua, kali pertama kita buat di Kuantan dan insyaAllah pada minggu hadapan kalau tidak ada halangan banjir semua kita akan mengadakan di Kuala Krau dan Cameron Highlands untuk tahun ini.
“Kalau banjir kita akan tangguh dan akan beri tarikh baru,” katanya ketika ditemui pada Program Anggun Suri bagi Daerah Bera Tahun 2024 di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera.
Turut hadir, Ahli Parlimen Bera, YB. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB. Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin; dan Pegawai Daerah Bera, YH. Dato’ Ahmad Nasim Dato’ Haji Mohd Sidek. -PAHANGMEDIA

