Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Pahang memperuntukkan RM2.52 juta bagi membiayai yuran pendidikan untuk membantu murid di Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP) daripada golongan B40 di seluruh Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini berikutan sambutan menggalakkan daripada rakyat negeri ini sejak ia ditubuhkan pada 2018, tadika tahfiz ini telah berkembang sehingga 25 cawangan pada masa kini.
“Bagi memperluaskan lagi peranan Tadika Tahfiz Negeri Pahang sebagai institusi pendidikan awal kanak-kanak, Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Pahang merancang untuk membuka tadika ini di kesemua 42 DUN dalam tempoh 2025 hingga 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Kerajaan Negeri melalui peruntukan Yayasan Pahang turut menyediakan insentif dan bantuan bagi membantu pembentukan generasi cemerlang antaranya menyediakan peruntukan RM23.9 juta bagi pemberian Biasiswa Pahang Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah, Program Tahfiz Mahir dengan peruntukan RM2 juta dan Program Kecemerlangan SPM Pahang Top 5 dengan peruntukan RM2 juta.
Selain itu, RM10 juta turut diperuntukkan bagi Program Tahfiz From Cradle To Grave dan Pewujudan Akademi Rel Pahang di bawah University College of Yayasan Pahang (UCYP) milik Yayasan Pahang bekerjasama dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) untuk menyediakan latihan khusus bagi para pekerja operasi rel dengan kos peruntukan sebanyak RM5 juta.
Bagi memperkasa pembangunan pendidikan masyarakat Orang Asli, Kerajaan Negeri juga melaksanakan tiga program berkaitan melibatkan peruntukan sebanyak RM2.4 juta untuk pelaksanaan Program Baca Cepat Kawanku (BCK), Program Pendidikan Murid Asli (PEDULI) dan Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Orang Asli (PETAMA).
Menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan bagi melaksanakan beberapa program iaitu Program Pahang Lead dengan peruntukan RM2 juta dan RM1 juta diperuntukkan bagi tujuan menjayakan Program Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia serta Apresiasi Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia Tahun 2024. -PAHANGMEDIA

