Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Sistem Pentadbiran Tanah berasaskan Web Negeri Pahang atau e-tanah dijangka dapat digunapakai oleh semua rakyat negeri ini pada 2027.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, buat masa ini pihak Kementerian dan Kerajaan Negeri dalam proses menyediakan kontrak perjanjian yang dijangka akan ditandatangani pada Mac tahun hadapan.
“Buat masa ini sistem e-tanah masih belum dilaksanakan. Sehingga kini pihak Kementerian dan Kerajaan Negeri dalam proses menyediakan kontrak perjanjian yang dijangka akan ditandatangani pada bulan Mac tahun hadapan setelah diteliti oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri akan meneliti kontrak perjanjian tersebut dan selepas kontrak perjanjian dimulakan insyaAllah pembangunan sistem ini akan bermula selepas enam bulan kontrak ditandatangani yang dijangka pada September 2025.
“Tempoh permohonan sistem ini mengambil masa 24 bulan, mengikut tempoh maksimum dan sistem ini akan go live untuk digunapakai oleh semua rakyat Pahang menjelang tahun 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, YB. Tuan Chan Chun Kuang pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang.
Menjawab soalan tambahan daripada ADUN Tioman, YB. Dato’ Sri Mohd Johari Hussain, beliau berkata sistem e-tanah yang bernilai RM128 juta ini memudahkan urusan pentadbiran tanah yang juga melibatkan permohonan tanah serta semakan status permohonan tanah dan lain-lain urusan berkaitan.
“Sudah tentulah apa yang dibuat Kerajaan Negeri mendatang faedah kepada rakyat. Dan begitu juga sistem e-tanah ini mendatangkan faedah kepada rakyat. Apa yang menariknya sistem e-tanah ini tidak melibatkan kos Kerajaan Negeri. Kos ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan sebanyak RM128 juta dan kontrak ini memakan masa lebih kurang 14 tahun. Dan faedahnya banyak.
“Antaranya adalah ease of doing business. Kita boleh menarik minat pelabur. Dan kedua, semua pemilik tanah dia boleh access di mana-mana, tidak perlu pergi ke Pejabat Daerah, Pejabat Tanah, dan kita boleh meningkatkan kutipan hasil tanah seterusnya boleh mempercepatkan urusan tanah, dan kita boleh mengelakkan daripada berlaku penipuan melalui sistem ini. Datanya lebih komprehensif dan bersepadu dan sudah tentulah ia meningkatkan lagi kecekapan. Sebab itulah Kerajaan Negeri bersetuju dengan sistem e-tanah ini yang mana ia telah diluluskan oleh Kabinet,” katanya.
Menjawab soalan tambahan daripada ADUN Cheka, YB. Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkenaan sama ada kos pembangunan sistem e-tanah merupakan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan dan adakah sistem ini akan diselaraskan dengan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), beliau berkata ia akan diteliti terlebih dahulu.
“RM128 juta duit Kerajaan Persekutuan, bukan pinjaman selama 14 tahun. Dan sama ada kita nak synchronize denga PDT dan sebagainya, kita lihat kepada perjanjian yang akan diteliti oleh kedua-dua pihak, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, dan sekiranya ada keperluan, kebaikan untuk Kerajaan Negeri, pada masa itu kita akan masukkan,” katanya. -PAHANGMEDIA

