Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 25 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Pahang memandang serius tindakan segelintir pihak yang masih memainkan isu bangsa, agama dan institusi diraja sama ada secara sindiran mahupun dibelakang tabir.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, masyarakat berbilang kaum yang ada di negeri dan negara ini seharusnya perlu saling hormat menghormati serta bertolak ansur antara satu sama lain sebagaimana yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kita semua sedar bahawa cabaran di negara kita ini adalah perpaduan kaum kerana kita tidak mahu sejarah hitam berulang dan kita tahu, masih lagi ada segelintir mereka yang memainkan isu agama, kepercayaan dan perkara ini termasuklah institusi diraja dan sebagainya.

“Walaupun undang-undang, akta telahpun diwujudkan tetapi masih ada lagi memainkannya secara sindiran ataupun dibelakang tabir. Jadi harap perkara ini dapat dihentikan,” katanya ketika menyampaikan ucapan bersempena Majlis Rumah Terbuka Deepavali di kediaman Pegawai Khas YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Jasvir Singh Ram Singh di sini, semalam.
Hadir sama, Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam; Ketua Polis Pahang, YH. Dato’ Seri Yahaya Othman; Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Tuan Shahrizat Ismail, dan Pegawai Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohammad Shahid Ismail.
Dianggarkan lebih 500 tetamu terdiri daripada pelbagai kaum, etnik dan kepercayaan hadir memeriahkan rumah terbuka berkenaan.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy dalam pada itu memuji penganjuran program seumpama itu yang dilihat mencerminkan perpaduan antara kaum justeru berharap agar ianya dapat dijadikan contoh dan diteruskan pada masa akan datang.
“Saya berharap supaya Dato’ Jasvir dapat mengadakan program seumpama ini pada masa yang akan datang dan hari ini (semalam) pun saya tengok ada juga kaum-kaum lain yang datang. Daripada bangsa Cina pun ada saya nampak. Jadi ini adalah satu contoh yang baik yang kita harus contohi,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

