Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 23 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang mengalu-alukan permohonan bagi membuka perkhidmatan perbankan di mana-mana lokasi sesuai di kawasan pedalaman di negeri ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, namun ia akan diteliti terlebih dahulu oleh pihak bank sebelum diluluskan.
“Sekiranya ada keperluan, kita akan pertimbangkan. Bergantung kepada keperluan. Dan tadi pun saya telah menyatakan sokongan kuat kepada permohonan daripada ADUN Padang Tengku yang memohon untuk dibuka ATM, dan daripada penyelaras DUN Cheka, dan pihak Agrobank akan mengkaji dan meneliti permohonan ini dan sekiranya bersesuaian mereka akan buka dalam masa terdekat.

“Kita kena mohon, kemudian bank akan kaji. Macam kita di sini (Sungai Koyan), kita mohon. Bank pun tak datang, sebab dia (bank) pun tak tahu keadaan macam mana.
“Lazimnya kita akan buka kalau ada permintaan daripada rakyat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Perkhidmatan Agro Point Sungai Koyan di Sungai Koyan.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin; dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Menurut beliau, cawangan mini Agrobank yang dibuka di Sungai Koyan ini dapat memberi manfaat kepada 30,000 penduduk sekitar yang mana mereka kini tidak lagi perlu ke bandar Lipis atau Raub bagi urusan perbankan.
Cawangan mini Agrobank ini memberi perkhidmatan pembukaan akaun simpanan atau akaun deposit tetap, perkhidmatan melibatkan tunai melalu ATM dan CDM serta khidmat nasihat berkaitan permohonan pembiayaan. -PAHANGMEDIA

