Oleh: Norhafizan Zulkifli
RAUB, 23 NOVEMBER 2024: Kerajaan Negeri Pahang berjaya memperoleh kutipan hasil sebanyak RM1,144,476,281.93 melebihi sasaran yang telah ditetapkan iaitu sebanyak RM1.137 bilion atau bersamaan 100.66 peratus.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan berkenaan itu membuktikan perancangan dan kajian teliti Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan sasaran kutipan tercapai.
“Setiap tahun kita berjaya mencapai kutipan melebihi sasara dan ini bermakna apa yang kita buat, apa yang kita rancangan bukanlah kita buat ikut suka kita.

“Kita ada penelitian, ada perancangan ada kajian dan kita tetapkan sasaran. Sebab itu sasaran kita boleh capai sepertimana yang saya bentangkan pada bajet yang lepas.
“Dan IshaAllah, pada 29 November ini, saya akan bentangkan Bajet 2025 dan saya berharap sasaran juga akan dicapai pada tahun yang berikutnya,” katanya kepada media ketika ditemui selepas menyempurnakan Perasmian Penutupan Karnival Tanah Pahang Peringkat Negeri Pahang Tahun 2024 bertempat di Dewan Tititwangsa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub, di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Pahang, YH. Dato’ Hamdan Hussin; barisan pegawai daerah, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Apabila ditanya tentang berita gembira buat pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, perkara terbabit akan dibentangkan dalam Belanjawan Pahang 2025 nanti.
“Seperti biasa sudah pasti ada (berita gembira), tapi banyak mana, saya belum putuskan lagi dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Negeri kerana kita akan mengambil kira semua padangan terutama daripada Pegawai Kewangan Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.. dan selepas itu baru kita buat keputusan.
“Pokoknya ada. Dan kalau lihat ‘track record’ kepimpinan saya, kita tidak pernah gagal membayar bantuan kewangan kepada pegawai dan kakitangan kerajaan,” katanya lagi.
Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy dalam pada itu merakamkan penghargaan khsusnya kepada pembayar cukai yang telah membantu merealisasikan hasrat untuk mencapai sasaraan kutipan hasil Negeri Pahang.
“Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih khususnya kepada pembayar cukai dan juga terima kasih kepada PTG, pegawai-pegawai daerah, pegawai dan kakitangan dan semuanya yang terlibat secara langsung dan tidak langsung termasuklaah rakan-rakan yang dalam kepimpinan Kerajaan negeri, serta wakil-wakil rakyat yang telah membantu merealisasikan hasrat pencapaian kutipan hasil untuk negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

