Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : S. Prathap
BENTONG, 18 NOVEMBER 2024 : Pahang bakal mendirikan stesen volt pengecas kenderaan elektrik (EV) pertama di negeri ini dengan daerah Bentong dipilih sebagai daerah perintis.
Menurut Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib sebanyak 12 port pengecasan akan dibangunkan di Bentong.
“Syarikat Volt Industries Sdn. Bhd. membuat stesen volt pengecas kenderaan elektrik. Ia konsep pertama didirikan dalam Negeri Pahang, di mana Bentong merupakan daerah perintis konsep sedemikian.

“Stesen ini lebih kurang stesen minyak yang ada kedai runcit, dan kedai makan serta seumpamanya yang mana dapat memudahkan pengguna stesen pengecasan untuk membeli makanan dan berehat ketika kenderaan mereka di cas.
“Projek ini dijangka bermula pada Januari tahun hadapan dan siap sepenuhnya dalam tempoh lima bulan iaitu seawal-awalnya pada pertengahan tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Stesen Volt Pengecas Kenderaan Elektrik (EV) Bentong di Medan Selera Kampung Baru.
Turut hadir, Pegawai Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohammad Shahid Ismail; dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong (MPB), YH. Dato’ Rose Samsul Abdul Razak.

Menurut beliau, pembangunan infrastruktur EV juga dilihat dapat memacu pertumbuhan ekonomi selain menarik kemasukan pelancong ke negeri ini.
“Stesen ini juga boleh membantu secara tidak langsung membawa limpahan ekonomi kepada penjaja tempatan, yang mana stesen ini dikelilingi gerai-gerai makanan di tapak ini.
“Dan dengan adanya stesen ini kita berharap kita dapat menarik ramai lagi peminat dan pengguna kenderaan elektrik ke Bentong, di mana mereka tiada kebimbangan kereta tidak cukup cas bateri, atau mati di tengah jalan.
“Kerjasama di antara Pahang dan Volt ini juga merupakan satu pelaburan bernilai dianggarkan sebanyak RM 250 juta dan disasarkan untuk mengurangkan pelepsan karbin di negeri ini sebanyak 3 juta kilogram karbon dioksida (CO2) setiap tahun,” katanya.
Tambah beliau, Volt Industries mempunyai tiga stesen berbeza iaitu Volt Mega Station sebanyak 50 port pengecas, Volt Station (12 port pengecas), dan Volt Express (dua port pengecas) untuk dibangunkan bergantung kepada kawasan. -PAHANGMEDIA

