Oleh : Fadhil Roslizan
RAUB, 18 NOVEMBER 2024 : Pelbagai inisiatif dan bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Pahang kepada rakyat di negeri ini adalah kerana faktor prestasi ekonomi negeri yang semakin baik saban tahun.
Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri Dong, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, dengan prestasi ekonomi yang baik ini menjadi pendorong utama kebajikan dapat terus diberikan kepada semua golongan.

“Di dalam tempoh setahun dua ini pelbagai bantuan dan inisiatif untuk menegakkan syiar Islam. Dalam tiga, empat tahun mendatang ini akan lebih banyak perkara baru demi kemaslahatan ummah akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang Kluster Masjid, Surau Kebenaran Jumaat, Maahad Tahfiz/Pondok, Muallaf dan Pelajar Tahfiz/Pondok Daerah Raub di Dewan Jubli Majlis Daerah Raub hari ini.
Katanya, pendapatan hasil Negeri Pahang untuk tahun ini buat kali ketiga berturut-turut telah berjaya melepasi nilai RM1 bilion diumumkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

“Dalam usaha meningkatkan syiar Islam di Negeri Pahang ini peruntukkannya dinaikkan saban tahun. Untuk tahun ini sahaja, Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM162 juta berbanding tahun tahun sebelum ini hanya sekitar RM142 juta. Namun pada tahun ini telah dinaikkan sebanyak RM20 juta.”
“Setiap Masjid dan Surau Kebenaran Jumaat mendapat peruntukkan RM10,000. Setiap Maahad Tahfiz atau Pondok yang berdaftar dengan Kerajaan Negeri RM2,000 manakala Muallaf dan Pelajar Tahfiz/Pondok masing-masing diberikan RM200 dan RM100 setiap seorang,” ujarnya lagi.
Katanya, hasil dari peruntukkan yang tinggi ini telah membuahkan hasil apabila Maahad Tahfiz Negeri Pahang, sebuah institusi pendidikan kelolaan penuh Kerajaan Negeri Pahang melalui Yayasan Pahang telah menduduki tempat pertama di dalam senarai Sekolah Terbaik SPM 2023.
Beliau menyeru agar semua penerima bantuan dan rakyat Pahang untuk mendoakan agar YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy terus dikurniakan kesihatan yang baik dan Kerajaan Negeri Pahang terus mencatatkan pendapatan hasil yang tinggi kelak lebihannya dapat dipulangkan kembali kepada rakyat dalam bentuk inisiatif kebajikan dan pengembangan syiar Islam. -PAHANGMEDIA

