Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Fadhil Roslizan
RAUB, 14 NOVEMBER 2024 : Sebanyak 210 Peruncit Terpilih Daerah (DDR) dilantik di Pahang daripada 1,369 premis keseluruhan bagi membekalkan barang keperluan asas sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Menurut Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, YB. Datuk Armizan Mohd Ali, sebanyak 97 premis di Pahang juga dilantik sebagai Pemborong Terpilih Daerah (DDW) daripada 635 premis di seluruh negara.
“Memandangkan banjir saban tahun kita hadapi, bermula pada 26 September lepas kita telah mengeluarkan surat arahan persediaan menghadapi MTL 2024/2025 semua KPDN cawangan menyenaraikan dua pihak iaitu DDR dan DDW.
“Peranan mereka ini bagi memastikan ada bekalan yang mencukupi dan sekiranya ada keperluan untuk hantar bekalan ke kawasan terkesan.
“Kita sebelum ini pun pernah laksanakan cuma kali ini kita mengambil langkah proaktif untuk melantik lebih awal, persiapan awal dan persiapan kita juga mengambil kira kepada kes-kes tahun lepas. Jadi kita tahu di mana daerah-daerah yang memang kerap mengalami banjir dan ada negeri tertentu termasuklah Pahang yang keperluannya lebih,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Turun Padang ke Jualan RAHMAH MADANI Negeri Pahang di Tapak Pekan Sehari Dong.
Turut hadir, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong.

Tambah beliau, premis DDW dan DDR yang dilantik ini juga diberi kelulusan sementara bagi menyimpan barang kawalan dan barang keperluan asas dengan jumlah lebih 30 peratus daripada biasa.
“Sekiranya ada keperluan gangguan bekalan mereka boleh terus hantar tanpa menunggu bekalan daripada luar untuk sampai khususnya di kawasan luar bandar.
“Dengan adanya DDR dan DDW ini kita tahu mana pihak dan premis yang boleh kita cari untuk memastikan bekalan sampai ke kawasan yang memerlukan dan pada masa yang sama kita juga membuat pemantauan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit untuk mengenalpasti apakah terdapat sebarang masalah.
“Kita yakin berdasarkan pengalaman, kita akan pastikan bahawa rakyat tidak akan kehabisan bekalan, ini dari segi bekalan yang mereka beli, kalau dari segi bantuan itu ada agensinya APM dan juga JKM bertanggungjawab untuk menyampai bekalan semasa banjir di pusat-pusat PPS itu adalah tanggungjawab dua agensi ini,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga akan mengambil tindakan menarik atau menggantung lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sekiranya terdapat aduan menyorok bekalan diterima pihak KPDN.
“Saya juga ingin mengingatkan bukan sahaja kepada DDR dan DDW tetapi kepada semua premis perniagaan sama ada peruncit, pemborong atau pengilang jangan sesekali bertindak untuk menyorok barang dalam keadaan yang memerlukan ini.
“Sekiranya kita dapati pihak-pihak yang berkenaan ada aduan, kita akan siasat dan kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan.
“Dalam keadaan bencana pastikan bekalan itu sampai sebab kita terima ada kemungkinan bekalan disorok, mereka hanya keluarkan dalam keadaan mendesak maka mereka boleh jual pada harga yang lebih tinggi,” jelasnya. -PAHANGMEDIA

