Oleh : Norhafizan Zulkifli
BENTONG, 14 NOVEMBER 2024 : Keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang terhadap pembangunan syiar Islam di daerah ini terbukti dengan sebanyak RM469,500 Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2024 diperuntukkan kepada masjid, surau kebenaran Jumaat, pengerusi majid dan surau, Ma’ahad Tahfiz dan Pondok, dan pelajar Tahfiz negeri.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 34 masjid dan surau kebenaran Jumaat di daerah ini masing-masing menerima RM10,000 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM340,000.
Sementara itu, sebanyak RM10,200 diperuntukkan kepada 34 pengerusi masjid dan surau dan sebanyak RM30,000 diperuntukkan kepada 15 buah Ma’ahad Tahfiz dan Pondok yang berdaftar di daerah ini.
Turut menerima bantuan berkenaan ialah seramai 890 pelajar Ma’ahad Tahfiz dan Pondok di daerah ini dengan masing-masing menerima BPP sebanyak RM100 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM89,000.

Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, bantuan yang disalurkan itu bukan sahaja merupakan bantuan kewangan, tetapi juga cerminan keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang dalam mendokong pembangunan agama Islam, pendidikan dan juga sosial.
“Saya yakin bahawa dengan adanya bantuan ini, ianya dapat memberikan impak yang besar dalam peningkatan taraf hidup umat Islam di daerah Bentong ini.
“Marilah kita sama-sama mendoakan agar segala usaha dan ikhtiar yang dilakukan ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT dan memberikan manfaat berterusan kepada umat Islam.
“Semoga bantuan ini dapat menjadi pendorong kepada kita agar kita sama-sama dapat memperjuangkan dan mempertahankan agama Islam terutama di negeri Pahang ini,” katanya ketika berucap bersempena Majlis Penyampaian BPP 2024 bertempat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Bentong, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Mohammad Shahid Ismail; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong, Dato’ Rose Samsul Abdul Razak; dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Encik Rizzal Mustafa.
YB. Dato’ Amizar dalam ucapannya juga berkata, pemberian BPP berkenaan membuktikan Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail sentiasa berusaha memperjuangkan syiar Islam tanpa henti.
“Untuk bantuan ini, diharap dapat membantu di dalam penambahbaikan pengurusan masjid serta surau serta memperkasakan peranan sebagai pusat ibadah, penyebaran ilmu dan juga aktiviti kemasyarakat yang memberi manfaat kepada umat Islam di daerah Bentong ini.
“Anak-anak Tahfiz ini bakal menggantikan kepimpinan masjid di negeri ini dan pastikan syiar Islam akan terus dibawa yang jelas dan yang betul,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

