Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 NOVEMBER 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Tanah Industri di Harbour Park, Gebeng Kuantan di antara Pasdec Holding Berhad dan Petroluxe Refinery di Hotel Zenith, hari ini.
Turut mengiringi Paduka Baginda ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan Exco Kerajaan Pahang.
Perjanjian tersebut ditandatangani Pengarah Pasdec Holding Berhad, YH. Dato’ Kamarul ‘Arifin Ahmad @ Abd Rahman, Timbalan Pengarah Eksekutif Pasdec, Dato’ Sri Tew Kim Thin serta Pengerusi Petroluxe Refinery, Encik Wang Zhongcheng dan Pengarah Urusan Petroluxe Refinery, Encik Peter Chen Huadi.

Pada perjanjian itu, PASDEC Holdings Berhad menandatangani perjanjian untuk menjual tanah industri seluas 59.2 ekar di Gebeng, Kuantan kepada Petroluxe Refinery (M) Sdn. Bhd bagi pembangunan loji penapisan minyak bernilai RM3 bilion.
Loji tersebut akan memproses minyak mentah kepada produk seperti petrol dan diesel serta menghasilkan petrokimia untuk industri plastik dan serat sintetik.
Pelaburan ini dijangka dapat memberi impak ekonomi besar kepada Negeri Pahang termasuk penciptaan peluang pekerjaan bernilai tinggi dan pertumbuhan rantaian bekalan.
PASDEC akan menerima RM73.4 juta daripada penjualan ini sekaligus akan mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan untuk projek-projek akan datang.
Paduka Baginda kemudiannya berkenan berangkat pulang usai majlis santapan selepas berakhirnya majlis tandatangan berkenaan. -PAHANGMEDIA

