Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 13 NOVEMBER 2024 : Ahli keluarga bayi perempuan yang ditinggalkan di Projek PR1MA Pinggir Pelangi, Muadzam Shah, Rompin pada 1 November lalu telah dikenalpasti.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, pihaknya sedang menanti perkembangan lanjut berhubung kejadian terbabit.
Katanya, setakat ini bayi berkenaan berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan di Rumah Kanak-kanak Sultanah Hajjah Kalsom (RKKSHK), di sini.
“Kanak-kanak yang ditemui itu, kita akan tengok apa tindakan selanjutnya dan Alhamdulillah, setakat ini bayi tersebut dalam keadaan selamat.

“Saya difahamkan emak bayi itu sudah dijumpai dan emak bayi tersebut berada bersama keluarga angkat. Kita tunggu sehingga siasatan lanjut selesai,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan bagi melihat keadaan bayi berkenaan dan menyantuni kanak-kanak RKKSHK, di Sungai Soi, hari ini.
Lawatan berkenaan turut dihadiri Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, Encik Khairul Amri Ahmad; Pengetua RKKSHK, Puan Murni Azraniza Umar; Timbalan Pengertua RKKSHK, Puan Suriyati Taha, dan Timbalan Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat (ALP) RKKSHK, Encik Badrul Jamili Kamaruddin.
YB. Dato’ Sabariah dalam pada itu menasihatkan mana-mana individu yang terjebak dengan masalah kelahiran luar perkahwinan agar tidak mengambil tindakan sendiri.
“Kadang-kadang kita tidak minta sesuatu perkara itu terjadi tetapi andai kata terjadilah macam yang berlaku di Rompin itu, minta berhubunglah dengan pihak berkaitan yang boleh memberikan perlindungan kepada kita,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

