Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 12 NOVEMBER 2024 : Semua pemegang tauliah mengajar di negeri ini diingatkan supaya tidak menjadikan masjid sebagai pentas politik.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menegaskan masjid seharusnya menjadi tempat penyatuan dan perpaduan umat Islam.
“Pada hari ini juga, saya ingin memberikan peringatan tegas kepada semua pemegang tauliah mengajar di Negeri Pahang agar tidak menjadikan masjid sebagai pentas politik.
“Masjid seharusnya menjadi tempat penyatuan dan perpaduan umat Islam, bukan ruang untuk menyebarkan kebencian atau fitnah,” titah baginda.
Paduka Baginda turut bertitah untuk tidak menjadikan agama sebagai alat tunggangan untuk menghalalkan niat dan matlamat mana-mana pihak.
“Kita semua bertanggungjawab memastikan masjid kekal sebagai tempat yang aman dan selamat bagi semua tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik.
“Jangan sama sekali menjadikan agama sebagai alat tunggangan dalam menghalalkan niat dan matlamat.
“Dalam hal ini, alim ulama, asatizah, dan penceramah harus menjadi contoh yang baik, menunjukkan teladan dalam memelihara keharmonian dan ketenteraman masyarakat,” titah baginda pada Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Ke-193.
Al-Sultan Abdullah dalam titah turut mengingatkan bahawa penyalahgunaan tauliah akan membawa kesan yang serius kepada banyak pihak.
“Saya mengingatkan semua yang telah diberikan tauliah agar menggunakan peluang ini untuk menyampaikan ilmu yang bermanfaat dengan penuh kejujuran dan amanah.
“Ingatlah, penyalahgunaan tauliah akan membawa kesan serius bukan sahaja kepada individu tetapi juga kepada masyarakat keseluruhannya.
“Tauliah juga boleh ditarik sekiranya disalahgunakan bagi menjaga kesucian tujuan asal pentauliahan ini,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

