Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 03 NOVEMBER 2024 : University College of Yayasan Pahang (UCYP) melancarkan program Hands & Clascar 2024 membantu pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan.
Naib Canselor UCYP, Prof Dato’ Dr Muhammad Fauzi Mohd Zin berkata program ini merupakan inisiatif murni yang dilancarkan bagi membantu pelajar kategori B40 dalam merealisasikan impian mereka untuk melanjutkan pengajian di peringkat universiti.
“Program julung kali diperkenalkan ini sejajar dengan matlamat UCYP untuk menerajui kecemerlangan dalam pelbagai bidang pendidikan tetapi dalam masa yang sama tidak melupakan aspek kemanusiaan khususnya dalam menyokong pelajar yang menghadapi cabaran kewangan.
“Program ini memberi peluang kepada kakitangan UCYP dan penderma untuk menghulur pelbagai bantuan berbentuk wang tunai termasuk peralatan pembelajaran serta barangan makanan.
“UCYP sentiasa komited dalam memastikan tiada pelajar yang tercicir dan kami di sini akan sentiasa menyokong perjalanan pelajar untuk menuju kejayaan,” katanya.
Menurut beliau, program anjuran Jabatan Waqaf dan Endowmen ini juga merupakan bukti keprihatinan UCYP terhadap pembangunan holistik pelajar selain mencerminkan komitmen terhadap prinsip kreativiti, kualiti, dan integriti yang memacu institusi ke arah kecemerlangan.
Muhammad Fauzi berkata, dibawah Yayasan Tuanku Canselor UCYP, pelajar kategori B40 yang dikenalpasti juga menerima bantuan komputer riba.
Beberapa pelajar yang ditemui berkata, inisiatif UCYP ini amat dihargai dan dapat menambahkan lagi semangat untuk meneruskan perjuangan dalam pelajaran dan diharap dapat mengubah nasib keluarga. -PAHANGMEDIA

