Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 25 OKTOBER 2024 : Seramai 50 penerima termasuk 20 pelatih Pusat Dalam Komuniti (PDK) Karak dan 30 penduduk setempat seperti warga emas dan OKU menerima sumbangan Deepavali daripada Yayasan Petronas berjumlah kira-kira RM10,000.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, sumbangan Deepavali ini bertujuan membantu menyemarakkan sambutan perayaan selain membantu meringankan bebanan mereka yang kurang berkemampuan.

“Hari ini seramai 50 orang telah menerima bantuan, 20 orang daripada PDK sendiri manakala 30 orang lagi daripada orang luar maksudnya warga emas dan OKU dan jumlah peruntukan yang dikeluarkan oleh Yayasan Petronas pada hari ini untuk musim Deepavali ialah sebanyak RM10,000.
“Kesemua mereka telah menerima barang makanan keperluan asas dan makanan asas perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan pada Program Memacu Kehidupan Deepavali 2024 yang diadakan di PDK Karak di Bentong.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, YB. V. Arumugam dan Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur Encik Mohammad Ahmad Shazly Ramli.
Pada majlis sama, turut diadakan persembahan kebudayaan masyarakat India oleh pelatih-pelatih PDK.
Dalam pada itu, YB. Dato’ Sabariah berkata, Kerajaan Pahang akan menganjurkan Program Perkahwinan Beramai-ramai di empat lokasi terpilih iaitu Kuantan, Temerloh, Bera dan Bentong dengan sekurang-kurangnya 10 pasangan bagi setiap lokasi.
Program tersebut dirancang diadakan pada 1 Disember depan dengan menelan belanja kira-kira RM100,000 bagi setiap lokasi. -PAHANGMEDIA

