KUANTAN, 25 OKTOBER 2024 : Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) telah menurunkan papan tanda kutipan derma menerusi Tabung Prihatin DUN Beserah selepas notis 24 jam dikeluarkan pada semalam.
Papan tanda kutipan derma itu telah dipamerkan di Beserah, Kuantan dan mendapat perhatian umum selepas tersebar di media sosial.
Datuk Bandar Kuantan, YH. Dato’ Razihan Adzharuddin berkata, pihaknya telah memeriksa status permit papan tanda berkenaan dan didapati tiada permit sah sebelum mengeluarkan notis tersebut.
“Selepas Jumaat tadi lawatan tapak (lokasi papan tanda) telah dilakukan semula, kira-kira 24 jam selepas (notis) diberikan sehingga jam 12.41 tengahari 25 Oktober 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi mendapatkan status berhubung papan tanda berkenaan.
Baru-baru ini tular di media sosial berhubung papan tanda kutipan dana bagi Tabung Prihatin DUN Beserah yang dipamerkan di Beserah, Kuantan yang mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.
Perkara itu menarik perhatian ramai sekaligus menjadi bualan dalam kalangan pengguna media sosial.
Rata-rata netizen menyatakan wakil rakyat seharusya membantu penduduk, tetapi sebaliknya yang berlaku apabila pengundi yang perlu membantu mereka. -PAHANGMEDIA

