Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Nuraqilah Amran
KUANTAN, 22 OKTOBER 2024 : Golongan belia digesa agar berusaha mempersiapkan diri supaya berdaya saing meskipun di dalam kelompok belia yang lebih luas menerusi kolaborasi bersama belia negeri-negeri lain.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, kita tidak mahu belia Pahang hanyalah sekadar ‘jaguh kampung’ sahaja sebaliknya bersedia bersaing dengan belia dari negeri lain.

“Saya gesa pemimpin-pemimpin belia ini agar persiapkan diri supaya memberi kelebihan kepada mereka nanti bila mana kita adakan kerjasama dengan negeri-negeri di luar sana, saya tak nak kita jadi ‘jaguh kampung’ sahaja, hebat di negeri sendiri tetapi bila keluar nanti kita tak dapat bersaing dengan belia-belia di luar sana,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail bagi merasmikan Majlis Perasmian Persidangan Dewan Belia Negeri Pahang 2024-2025 di Hotel Sri Manja, Kuantan, semalam.
Hadir sama ialah Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang, YB. Tuan Lee Chin Chen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB. Tuan Kahizulnizam Mohd Zuldin, Pengarah Jabatan Belia Negeri Pahang, Encik Mu’azamir Jili dan Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP), Encik Saharuddin Ahmad.

Pada persidangan kali ketiga ini, seramai 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia dan lima ADUN Belia Lantikan berbahas selama dua hari bermula Isnin bagi membincangkan isu berkaitan belia.
Dalam pada itu, Tuan Fadzli turut berharap agar barisan ADUN Belia dapat membina permuafakatan dan mengelakkan politik tidak sihat di dalam komuniti belia.
“Saya harap pemimpin-pemimpin belia ini capai satu muafakat dan kesatuan baru, bila mana mereka ada kesatuan ini, banyak inisiatif yang kita boleh laksanakan secara bersama.
“Pertubuhan belia ini diharap jauh daripada politik dan saya harap mereka matang sebab pertubuhan belia ini adalah medan untuk mereka belajar sebanyak-banyaknya tentang ilmu persatuan, pertubuhan atau NGO khusus cara menguruskan organisasi dan kena kurang politik dan jangan bawa budaya yang tidak bagus dalam pertubuhan belia ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

