Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 22 OKTOBER 2024 : Persidangan Dewan Belia Negeri Pahang yang berlangsung sejak semalam bukan sahaja membuka ruang kepada golongan belia untuk menyuarakan idea dan pandangan mereka tetapi juga membuka peluang untuk mengangkat setiap cadangan yang dibahaskan di dalam persidangan itu.
Bagi ADUN Belia Lantikan Semambu, Subesh Kailasam, dia sangat teruja untuk membawa suara anak muda India ke persidangan belia supaya dapat dibahas dan diangkat ke peringkat tertinggi dalam Kerajaan Pahang bagi proses pelaksanaan.

“Sebenarnya persidangan ini agak penting disebabkan selepas tokoh-tokoh (pemimpin) Pahang, kitalah pelapis seterusnya, kitalah belia-belia yang akan sampaikan informasi terkini atau pun kemajuan Pahang, saya rasa persidangan ini agak penting dan perlu untuk dilaksanakan bagi belia-belia akan datang sebagai pelapis Pahang.
“Belia-belia India ini juga jangan ketinggalan di belakang, di mana kita hendak mereka juga mendapat informasi yang ingin disampaikan oleh Kerajaan Negeri Pahang, sebab bagi saya informasi oleh Kerajaan Pahang ini pada masa ini adakalanya tidak sampai jadi saya ingin menjadi contoh bahawa orang India juga mampu bekerjasama dalam ADUN Belia Negeri Pahang dan ini salah satu platform yang sesuai untuk semua orang,” katanya.
Sementara itu, ADUN Belia Jengka, Nu Athirah Izzati Aktar Apandi, pula menganggap bahawa pelantikan sebagai ADUN Belia ini merupakan satu tanggungjawab yang berat dalam memastikan tiada belia di Jengka yang ketinggalan dari arus pembangunan meskipun mereka tidak aktif berpersatuan.

Jelasnya, kebanyakan anak muda yang mempunyai berpendidikan tinggi tetapi tidak aktif berpersatuan namun memiliki ilmu dan kepakaran selain mampu menyumbangkan idea serta pandangan akademik yang dapat menyumbang kepada kemajuan negeri.
Justeru, platform persidangan ini dapat dimanfaatkan bagi membawa suara anak muda untuk didengar dan diambil cakna oleh Kerajaan Pahang.
“Saya sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri di atas peluang untuk Persidangan Belia kali ini memang satu perkara yang bagus untuk pembangunan belia, tidak banyak negeri yang buat dan bila di Pahang, Kerajaan Negeri setuju untuk buat, kita sebagai belia memang sangat berterima kasih dan memang ini membantu kepada pembangunan belia,” katanya.
Persidangan Dewan Belia telah dikendalikan oleh Speaker Dewan Belia Negeri Pahang, YB. Tuan Lee Chin Chen bersama Timbalan Speaker Dewan Belia Negeri Pahang, YB. Tuan Khaizulnizam Mohd Zuldin.
Pada persidangan kali ketiga ini, seramai 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia dan lima ADUN Belia Lantikan telah berbahas membincangkan pelbagai isu berkaitan belia untuk diangkat ke peringkat tertinggi kerajaan. -PAHANGMEDIA

