Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
CAMERON HIGHLANDS, 21 OKTOBER 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah supaya kajian terperinci dijalankan di kawasan yang sering berlaku kejadian tanah runtuh.
Paduka Baginda turut bertitah pihak yang berkepakaran diminta melakukan kajian bagi memastikan kawasan terlibat selamat didiami oleh penduduk.

“Kita tidak boleh lari daripada masalah cerun, tanah runtuh ini, bukan sahaja di sini malah di beberapa tempat di Pahang juga ada berlaku.
“Saya harap pihak yang pakar berkenaan cerun ini membuat tinjauan dan kajian khususnya JKR (Jabatan Kerja Raya) atau pihak JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) supaya adakan satu kajian khususnya di kawasan yang banyak penduduk. Itu yang kita nak satu kajian dari pihak yang pakar dalam hal ini.
“Saya harap biar ada kajian terperinci supaya bagi keyakinan kepada mereka-mereka yang tinggal di sini selamat,” titah baginda ketika berkenan berangkat melawat ke kawasan tanah runtuh di Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Ruil di sini.

Paduka Baginda dalam titah turut mengingatkan penduduk di kawasan terlibat supaya berhati-hati sekiranya hujan lebat berlaku.
“Saya juga menasihatkan penghuni di sini harus berhati-hatilah pada musim hujan. Kita doa supaya tak berlaku (tanah runtuh) tapi bila hujan lebat, hati-hatilah, kaum keluarga tolong ingat, kerana malang tak berbau.
“Bila hujan kena hati-hati. Buatlah satu SOP, ingatan kepada jawatankuasa di sini supaya ada satu tindakan boleh kita sedia dengan cepat,” titah baginda.

Al-Sultan Pahang dalam titah turut meminta Kerajaan Negeri supaya membuat tinjauan berkaitan puing-puing yang berlaku di kawasan tinggi di negeri ini.
“Di Pahang ini saya nampak banyak puing-puing, dah banyak berlaku di bukit-bukit tinggi di antaranya di Bentong.
“Minta pihak Yang Berhormat bertanggungjawab terbang pergi tengok keadaan sekeliling, mungkin boleh buat penjelasan kepada rakyat supaya hati-hati. Ini kerana akibat cuaca bukan sebab ada kerja pembalakan atas tu. Ini natural force,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

