Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 19 OKTOBER 2024 : Pahang menjadi negeri pertama melaksanakan Projek MyOKUCentre bagi memudahkan golongan ini mendapat perkhidmatan yang ditawarkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Projek MyOKUCentre ini merupakan salah satu projek pemerkasaan komuniti serta merupakan pusat informasi setempat bagi memudahkan golongan OKU khususnya di kawasan luar bandar untuk mendapat maklumat dan bantuan pendaftaran berkaitan perkhidmatan pekerjaan yang ditawarkan oleh PERKESO.
Sebanyak 20 MyOKUCentre telah dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di mana pelaksanaan pilot projek di negeri ini telah mula dijalankan bermula 15 Ogos lalu dengan pengisian Program Pemprofilan OKU 1.0 Negeri Pahang.
Melalui pelaksanaan projek ini, ia telah berjaya meningkatkan 80 peratus jumlah pendaftaran golongan OKU menerusi Portal MYFutureJobs di seluruh Pahang.
Kerajaan Negeri Pahang berharap projek ini dapat dijadikan contoh dan diperluaskan ke seluruh PPDK bagi memudahkan pemprofilan yang disasarkan khusus buat seluruh golongan OKU berumur 18 tahun ke atas yang menetap di Negeri Pahang.
Projek ini juga merupakan projek inovasi yang dilaksanakan oleh PERKESO Negeri Pahang menerusi peranan mereka di bawah Jawatankuasa Kecil Ekonomi dan Pekerjaan, Majlis Penasihat Orang Kurang Upaya (MPO) Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

