Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 17 OKTOBER 2024 : Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang mensasarkan sifar kes penderaan melibatkan kanak-kanak bagi negeri ini.
Difahamkan pada tahun lalu, Negeri Pahang mencatatkan seramai 338 kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan melibatkan kes pengabaian, penderaan seksual dan penderaan fizikal.
Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, Encik Khairul Amri Ahmad berkata, bagi daerah Kuantan pula, setakat Ogos tahun ini, sebanyak 135 kes pemeliharaan dan perlindungan telah dicatatkan.
“Daripada jumlah itu, terdapat sebanyak 43 kes melibatkan kanak-kanak yang diabaikan, 23 kes melibatkan penderaan dari segi seksual dan 69 kes melibatkan penderaan fizikal.
“Walaupun kes di Pahang ini tidak terlalu tinggi berbanding negeri-negeri lain, tapi kita juga berasa gusar dan kalau boleh kita nak kes-kes sebegini di Negeri Pahang sifar… kosong,” beliau berkata demikian ketika berucap bersempena Majlis Perasmian Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak peringkat Daerah Kuantan Tahun 2024 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang, di sini hari ini.
Majlis anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuantan bersama Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak Daerah (PPKK) Kuantan dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) Daerah Kuantan itu turut dihadiri Guru Besar SK Kempadang, Puan Hajah Rooshayati Hashim, Pengerusi PKKK Daerah Kuantan, Encik Rahim H. Musthaffa dan Pemangku Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuantan, Puan Wan Norazlina Wan Aziz.
Katanya, ekoran itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPPWKM) melalui JKM telah mengambil inisiatif melaksanakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak bagi mewujudkan persekitaran yang selamat bagi kanak-kanak.
“Terdapat tiga objektif utama bagi program ini. Yang pertama adalah untuk meningkatkan kefahaman kanak-kanak berkenaan situasi kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.
“Keduanya adalah untuk memberi pendedahan kepada kanak-kanak berkenaan tindakan yang boleh diambil oleh ibu bapa, penjaga, kanak-kanak sendiri atau komuniti apabila terlibat kes tersebut.
“Dan yang ketiganya adalah memberi peluang kepada PPKK untuk mengenali kanak-kanak di kawasan masing-masing seterusnya dapat memainkan peranan dan tanggungjawab sebagaimana yang telah digariskan dalam Garisan Panduan PPKK dan PKKK,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

