Oleh : Yusof Tashfin
MARAN, 15 OKTOBER 2024 : Penggunaan transaksi tanpa tunai (cashless) telah memberi banyak manfaat kepada urusan perniagaan.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata demikian semasa merasmikan Program UCPh. Go Cashless @ UiTM Pahang yang berlangsung di Dataran Integrasi, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang Kampus Jengka, di sini, hari ini.

Beliau berkata, melalui transaksi tanpa tunai, keselamatan lebih terjamin kerana ciri-ciri keselematan transaksi itu sendiri yang agak ketat.
“Kita mestilah menerapkan penggunaan transaksi tanpa tunai supaya negara kita setanding dengan ekonomi global,” kata beliau lagi.
Program UCPh. Go Cashless @ UiTM Pahang berlangsung selama dua hari dimana para pelajar UiTM disini boleh membeli makanan, minuman dan barangan lain menggunakan transaksi tanpa tunai di gerai-gerai yang telah disediakan.
YB. Dato’ Mohammad Nizar juga berkata, Kerajaan Negeri Pahang telah merencanakan Pelan Digital Pahang 2021-2025.
“Usaha melalui Pelan Digital Pahang ini diharapkan dapat meningkatkan imej negeri Pahang sebagai negeri ‘Digital Ready’,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

