Oleh : Fansurina Abdullah
KUALA LUMPUR, 11 OKTOBER 2024 : Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah (UMPSA) menerusi UMPSA Holdings Sdn Bhd bersedia melakukan kolaborasi bersama Kerajaan Pahang dalam meningkatkan inovasi teknologi hijau di Negeri Pahang dalam usaha mencapai Netzero 2030.
Pengurus UMPSA Consultancy, Encik Mohd Lokman Che Jusoh berkata, UMPSA mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi hijau yang membolehkan kerjasama dapat dijalankan dengan mana-mana pihak
“Apa sahaja kepakaran UMPSA kita akan salurkan kepada industri atau pun industri luar seperti kerajaan yang ingin menggunakan kepakaran dari UMPSA kita akan lakukan menerusi anak syarikat UMPSA, maknanya boleh berkolaborasi dengan anak syarikat UMPSA atau pun secara terus dengan UMPSA sendiri pun boleh kerana kami terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pameran bersempena International Greentech And Eco Products Exhibition And Conference Malaysia (IGEM) 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama tiga hari bermula Rabu lepas.
Penglibatan UMPSA Holding Sdn Bhd pada IGEM 2024 turut memperkenalkan tiga produk berasaskan teknologi hijau iaitu ‘Agarwood Inoculant’, ‘E-Anfun’ dan ‘Organic Coagulant’.
Pada IGEM 2024, tujuh agensi sebagai pempamer telah turut serta iaitu Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), UMPSA Holdings Sdn Bhd, Cenergi Sea Berhad, Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Perbadanan Taman Negeri Pahang dan PlanMalaysia Pahang.
Pada penyertaan kali pertama pada 2023, Pahang telah dinobatkan sebagai juara bagi anugerah States Innovation Awards. – PAHANGMEDIA

