Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhamad Amiruddin Ani (Unit Korporat)
KUANTAN, 09 OKTOBER 2024 : Pahang menjadi negeri pertama menubuhkan pasukan Civil Defence Auxiliary (CDA) Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) dalam kalangan pejabat kerajaan negeri di seluruh Malaysia.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Kerajaan Negeri Pahang turut komited untuk terus bekerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Hari ini kita mencipta satu lagi sejarah di Pahang di mana penubuhan pasukan Civil Defence Auxiliary (CDA) SUK ini adalah yang pertama di Malaysia yang ditubuhkan di Pahang.

“Dan saya dimaklumkan mereka ini telah mendapat latihan untuk menyelamat atau sekiranya berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini.
“Dan Kerajaan Negeri komited untuk membantu pasukan APM ini malahan sebelum ini kita dah bantu dengan pemberian aset di Temerloh dan ditempat-tempat lain dan kita akan terus membantu di masa-masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Watikah Pegawai Kehormat APM Kepada YAB Menteri Besar Pahang serta Pelancaran Civil Defence Auxiliary (CDA) Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang di Perkarangan Wisma Sri Pahang.
Turut hadir, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Pahang, YBhg. Kol (Pertahan Awam) Che Adam Abdul Rahman.

Beliau dalam majlis berkenaan turut dianugerahkan watikah sebagai Pesuruhjaya Kehormat (Pertahanan Awam) oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Tuan Abdul Wahab Haji Rahim di perkarangan Wisma Sri Pahang hari ini.
Dalam majlis sama, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob turut menerima watikah sebagai Timbalan Pesuruhjaya Kehormat (Pertahanan Awam).
Tambah beliau penubuhan pasukan seramai 80 anggota terdiri daripada kakitangan SUK Pahang ini selari dengan pertambahan penduduk di negeri ini.
“Dan kita tahu peningkatan penduduk semakin ramai dan kita tidak menduga apa yang akan berlaku kepada kita atau keluarga kita dan APM akan menjadi salah satu agensi yang akan membantu sekiranya kita ditimpa perkara yang tidak diingini,” katanya. -PAHANGMEDIA

