Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 5 OKTOBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang komited dalam usaha membanteras kegiatan penagihan dadah yang dikatakan sangat sinonim dengan warga Felda.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan semua agensi terlibat untuk memastikan warga Felda bebas gejala dadah.
Katanya, antara agensi yang terlibat termasuklah dari pihak Kementerian Pendidikan bagi memberi kesedaran bahaya dadah sedari peringkat awal.
“Disebabkan itu kita telah menggerakkan komuditi-komuditi terutama sekali dalam Felda untuk menggerakkan jawatankuasa masing-masing bagaimana hendak membanteras najis dadah ini bermula daripada rumah dan kemudiannya kita bawa ke peringkat sekolah.
“Baru-baru ini, dua minggu lepas kita telah bertemu dengan pihak Kementerian Pendidikan bersama agensi-agensi terlibat ini untuk kita selaraskan program bagi kita nampakkan impak yang lebih baik bermulanya dari rumah dan sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penutup Kayuhan Berinformasi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) 2024 bertempat di Felda Bukit Sagu, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, YB. Tuan Khairul Anwar Bachok; Pengarah Wilayah Felda Wilayah Kuantan, YB Dr Muhamad Saiful Hassan; dan Pengarah AADK Pahang, YB. Puan Zirwatul Ahlam Zamzam.
YB. Dato’ Amizar juga memberitahu, pendekatan yang telah dilakukan itu setakat ini telah banyak membantu memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya dadah.
“Setakat ini Alhamdulillah.. melalui pendekatan yang kita lakukan melibatkan pelbagai agensi di setiap lapisan masyarakat ini.. masyarakat sudah tahu bahaya dadah dan tidak mengambil dadah. Mereka sudah memahami dan mengatakan tak nak kepada dadah,” katanya.
Beliau dalam masa sama menyeru masyarakat Felda di 115 rancangan Felda yang ada di negeri ini untuk sama-sama menjadi sukarelawan Skuad AADK.
“Ibu bapa dan rakan sebaya memainkan peranan penting. Bila kita menjaga keluarga kita, kita juga sedang menjaga masyarakat kita. Kawal keluarga kita, insyaAllah masalah dadah dapat diselesaikan,” ujarnya. -PAHANGMEDIA