Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 3 OKTOBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) telah bersetuju untuk menaikkan insentif pingat emas atlet Para SUKMA XXI Sarawak 2024 daripada RM5,000 kepada RM6,000.
Turut menerima insentif ialah pemenang pingat perak sebanyak RM3,000 dan pemenang pingat gangsa sebanyak RM2,000.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kenaikan insentif terbabit adalah berikutan kejayaan atlet Para SUKMA Pahang memperoleh 29 pingat dengan 15 pingat emas, lima perak dan sembilan gangsa.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada atlet PARA SUKMA Pahang yang telah menyertai Para SUKMA XXI Sarawak 2024 pada 22 hingga 28 September lalu.
“Secara keseluruhannya atlet Para SUKMA Pahang telah berjaya memperoleh 29 pingat serta menduduki tangga ketujuh secara keseluruhan. Malah, Apa yang membanggakan, mereka juga telah berjaya melepasi sasaran 10 pingat Emas yang ditetapkan sebelum ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh Kontinjen Para SUKMA Pahang yang diterajui Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Badan Bukan Kerajaan, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB Tuan Khaizulnizam Mohd Zuldin atas pencapaian yang membanggakan itu.
“Semoga kejayaan yang diraih oleh atlet Para SUKMA menjadi inspirasi kepada semua pihak hasil daripada ketekunan dan semangat juang yang luar biasa.
“Teruskan usaha ini dan jadikan pengalaman di Sarawak sebagai pembakar semangat untuk kejayaan yang lebih besar terutamanya dalam menghadapi Para SUKMA XXII di Selangor pada tahun 2026,”’ ujarnya. -PAHANGMEDIA

