Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Syed Abdullah Syed Nordin
KUANTAN, 26 SEPTEMBER 2024 : Kerajaan Pahang akan mengkaji bagi menambahbaik inisiatif kerjasama yang terjalin di antara Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang menerusi Bahagian Teknologi Maklumat (BTM) dengan TM One.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata inisiatif ini telah berlangsung selama 10 tahun menerusi 1Pahangnet dan wajar diperkukuhkan pada masa hadapan.

“Inisiatif ini amat penting kerana capaian kepada teknologi komunikasi dan internet ini menjadi satu kemestian dalam melaksanakan tugas seharian, khidmat kepada rakyat itu sendiri.
“Jadi saya sangat berharap inisiatif ini diperkukuhkan lagi antara Bahagian Teknologi Maklumat dan juga TM pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah 1Pahangnet yang berlangsung di Hotel Holiday Villa Beach Resort & Spa Cherating, Kuantan.

Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pengurusan), YH. Dato’ Dr. Mohd Zakaria Ibrahim, Naib Presiden Perniagaan Negeri TM One, YBhg Tuan Haji Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan dan Pengurus Besar TM One Wilayah Timur, Tuan Haji Maliki Harun.
Pada majlis anugerah itu sebanyak enam kategori dipertandingkan bagi tahun 2024 iaitu PiC Paling Proaktif (Lelaki), PiC Paling Proaktif (Wanita), Pengguna Terbaik Jabatan / Agensi, Pengguna Terbaik Pejabat Tanah & Daerah, Pengguna Terbaik Pejabat Agama Islam Daerah dan Pengguna Terbaik Sekolah Menengah Agama.
Kesemua anugerah ini diberikan sebagai tanda penghargaan kepada pengguna-pengguna 1Pahangnet khususnya jabatan dan agensi kerajaan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan. -PAHANGMEDIA

