Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Syed Abdullah Syed Nordin
SERDANG, 19 SEPTEMBER 2024 : Pahang bakal mengadakan Mini MAHA (Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia) Pahang pada tahun hadapan bagi mempromosikan Pahang kepada rakyat Pahang khususnya.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, pameran mini ini tidak akan dilaksanakan secara bersepadu seperti pameran MAHA di Tapak Pameran Ekspo Pertanian Serdang (MAEPS).
“Tadi saya dan rakan saya Dato’ Sri Soffi berbincang akan mengadakan Mini MAHA di Pahang pada tahun hadapan. Ia mungkin tidak sama seperti yang di sini (MAHA 2024), tetapi kaedahnya mungkin kita akan bincang untuk menepati sasaran.
“Dan dalam masa yang sama kita nak mempromosikan apa yang Negeri Pahang ada bukan sahaja kepada orang luar kerana kita (Pahang) ini luas, kita nak promosikan juga kepada rakyat Negeri Pahang.

“Macam MAHA ini dia secara integrated (bersepadu), comprehensive, boleh kata dari A sampai Z. Kita dekat sana nanti mungkin akan pilih-pilih masakan tertentu, buah-buahan tertentu sahaja yang kita promote sebab ia pun dipanggil Mini MAHA, bukan MAHA secara bersepadu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Pavilion Pahang pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di MAEPS, Serdang.
Turut hadir, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin.
Tambah beliau, penetapan lokasi bagi pemeran mini ini akan dibincangkan selepas ini bagi memilih daerah yang bersesuaian dan memudahkan pengunjung untuk hadir.
MAHA 2024 yang merupakan edisi ke-100 ini berlangsung selama 12 hari bermula 11 hingga 22 September di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS). -PAHANGMEDIA

