Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 17 SEPTEMBER 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) dapat menjadi tempat kebanggaan rakyat Pahang.
Paduka Baginda bertitah supaya bangunan pentadbiran baharu ini diberi tumpuan untuk diselenggara kebersihan dan kecantikannya sebagai tempat untuk rakyat di negeri ini berurusan.
“Mulai daripada hari ini beri tumpuan khusus daripada soal penyelenggaraan daripada kebersihan dan kecantikan.
“Saya nak ini benar-benar menjadi satu tempat yang kita semua bangga. Rakyat boleh datang tengok cantik, boleh berjumpa dengan ahli mesyuarat Kerajaan Negeri dan mereka berasa bangga.
“Janganlah mereka datang nanti kotor, pegawai tak ada ahli MMK tak nak jumpalah. Saya harap ini tidak akan berlaku dan tidak dengar keluhan-keluhan seperti ini,” titah baginda.

Baginda dalam titah turut mengingatkan berkenaan pengawasan kompleks pentabdiran ini turut diberikan perhatian utama memandangkan ia merupakan sebuah kompleks pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang.
“Dan terbinanya sebuah bangunan yang begitu ikonik dan termoden, saya cuma nak mengingatkan supaya soal penyelenggaraan dan pengawasan kompleks ini perlulah diberi perhatian yang utama.
“Kompleks ini boleh menaikkan imej Kerajaan Negeri Pahang dari segi performance dan juga dari segi semangat untuk bekerja yang diterajui oleh ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan ini mempunyai semangat yang baru yang semakin kental dan sudah sampai masanya Negeri Pahang melonjak ke satu lagi tahap supaya kita tidak berada dalam zon selesa.
“Dan jadikan semangat kompleks ini, kita nak ada satu pencapaian kejayaan yang sama-sama dapat dinikmati oleh rakyat dari semua aspek,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa bangga dengan kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang yang berorientasikan rakyat dan berharap ia dapat diteruskan oleh semua pihak di negeri ini.
“So be transparent, be available, engage with the people yang meminta pertolongan tak kira tinggi mana orangnya atau serendah mana orang itu. So engage with them, be nice, and be kind pada rakyat saya tak kira agama, warna kulit, dan dari ceruk mana sekali pun.
“Saya bangga kerana sehari dua ini nampak kepimpinan YAB Menteri Besar begitu people oriented. So i hope down the line learn, ahli majlis semua harus ada sifat merendah diri, ingin membantu, dapat kita teruskan.
“Jadilah satu contoh kepada pegawai-pegawai lain sekali pun begitu juga dengan pegawai-pegawai pentadbiran lebih dapat membantu rakyat yang memerlukan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada sesi taklimat selepas berkenan bercemar duli melawat Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) hari ini. -PAHANGMEDIA

