Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 SEPTEMBER 2024 : Semua rakyat khususnya di Negeri Pahang di seru agar mempertahankan kedaulatan Institusi Diraja daripada dipermainkan atau diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak yang sengaja mencetuskan sentimen atau persepsi negatif terhadap Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku Sultan Pahang sebagaimana yang berlaku di Nenggiri, baru-baru ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hal ini dapat menimbulkan kemarahan rakyat di Pahang dan ini jelas menunjukkan bahawa Institusi Diraja merupakan lambang perpaduan dan penyatuan rakyat yang dipayungi serta dilindungi kedaulatan beraja.
“Untuk itu sebagai rakyat Pahang adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankan kedaulatan institusi Diraja daripada dipermainkan atau diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak yang sengaja mencetuskan sentimen atau persepsi negatif terhadap Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku seperti mana yang berlaku di Nenggiri baru-baru ini, sehingga menimbulkan kemarahan rakyat di negeri ini.
“Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai isu ini kerana kes tersebut telah pun dibawa ke mahkamah. Cuma saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah mempertahankan Institusi Diraja Pahang dengan membuat laporan polis.
“Terima kasih juga kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat daripada Perikatan Nasional Negeri Pahang yang telah menzahirkan taat setia ke sisi Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku serta meletakkan keyakinan kepada pihak polis untuk menyiasat kes tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Penangguhan pada Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berharap agar isu yang berlaku itu dapat menjadi iktibar dan ingatan kepada semua rakyat agar lebih berhati-hati dan bijak dalam berkata-kata.-PAHANGMEDIA

