Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 SEPTEMBER 2024 : Kerajaan Pahang bersama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sangat mengambil berat terhadap kebajikan 1,380 imam dan 1,800 bilal dan siak di Negeri Pahang.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kesemua 1,380 imam di Pahang telah menerima elaun bulanan mereka sebanyak RM800 seorang selain bayaran elaun kepada bilal dan siak yang turut mendapat suntikan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan di mana masing-masing menerima RM550 dan RM500 setiap seorang.
“Sesungguhnya Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memandang serius dan mengambil berat tentang soal pengimarahan masjid di Negeri Pahang. Lima tahun lalu kita hanya mempunyai 630 buah masjid tetapi terkini untuk makluman dewan kita mempunyai 693 buah masjid dan kita mempunyai seramai 1,380 orang tok imam, juga kita mempunyai 1,800 orang bilal dan siak di Negeri Pahang di masjid-masjid qariah.
“Sebenarnya imam ini kita bagi dia elaun bukan RM200, Kerajaan Persekutuan berkombinasi dengan Kerajaan Negeri telah memberikan elaun kepada imam ini sebanyak RM800 kepada setiap tok imam seramai 1,380 orang setiap bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, YB Tengku Zulpuri Shah Raja Puji pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Jelasnya, kerajaan juga turut memberikan pelbagai imbuhan dan bantuan kepada semua 693 masjid di Pahang bagi memastikan pengimarahan rumah ibadat itu dapat memberi manfaat kepada kariah.
“Itu tidak cerita lagi imbuhan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada imam, pada tahun ini sahaja Kerajaan Persekutuan telah memberikan kepada imam imbuhan sebanyak RM750 setiap seorang dan Kerajaan Negeri menambah sebanyak RM300 kepada setiap orang bilal.
“YAB Menteri Besar Pahang sendiri telah mengumumkan dalam bajet yang lalu, sudah pun diagihkan pada tahun lepas, setiap masjid yang kita ada 693 buah masjid mendapat RM10,000 untuk menggalakkan mereka (masjid) mengimarahkan dengan program keagamaan supaya ahli qariah sentiasa dididik dan mendampingi masjid,” katanya.-PAHANGMEDIA

